Sungai Petani: Sejumlah 6,300 naskhah akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) diedar secara percuma kepada pengunjung Pesta Buku Kedah (PBK) 2024 di Village Mall, di sini.
Edaran akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) berlangsung selama seminggu bermula Isnin lalu hingga Ahad ini.
Pengurus Pengedaran Akhbar NSTP Kedah dan Perlis, Wan Zarifah Wan Ibrahim berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada pembaca yang sentiasa menyokong ketiga-tiga penerbitan itu sejak sekian lama.
“Kita juga berterima kasih kepada penganjur iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) yang memberi peluang kepada NSTP untuk mengedarkan akhbar kita kali ini.
“Pengedaran akhbar ini dapat memupuk budaya minat membaca dalam kalangan orang ramai, terutama generasi muda yang berkunjung ke program ini,” katanya selepas majlis perasmian program berkenaan, hari ini.
Pesta Buku Kedah 2024 dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad.
Sementara itu, Halimaton yang juga Pengerusi PPAK berkata, penganjuran PBK kali ke-12 berjaya menghimpunkan lebih 50 reruai terdiri daripada pempamer seluruh negara.
Menurutnya, seramai 102,336 pengunjung hadir pada 2022 dan melonjak kepada 147,661 pengunjung pada tahun lalu dengan nilai jualan mencapai RM153,400.
“Tahun ini, kita menyasarkan 200,000 pengunjung dan ingin melihat nilai jualan mencecah RM250,000. Pesta ini diharapkan mampu mengangkat ekonomi domestik, menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku di tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis itu, hari ini.
Beliau turut berharap usaha itu membuka jalan untuk menganjurkan Pesta Buku Kedah lebih besar pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Kedah 2025. – HM Online