SHAH ALAM: Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 ternyata milik Aina Abdul apabila penyanyi itu diumum sebagai Bintang Paling Popular pada acara anugerah berprestij itu.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani dinobat penerima anugerah tertinggi ABPBH 36 selepas menerima 8,882,662 undi daripada peminat.
“Alhamdulillah saya tak sangka menang kerana perjalanan yang saya lalui tidak mudah. Ini semua atas 100 peratus sokongan peminat.
“Saya berterima kasih dengan anugerah ini dan sudah tentu kepada juri, Berita Harian dan TV3. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas memenangi anugerah itu.
Mengulas lanjut, Aina berkata meskipun melakar kemenangan besar malam ini, ia belum lagi dianggap lengkap kerana dia sendiri belum bertemu dengan peminat, Ainations.
“Saya tahu jasa mereka tidak terbalas dengan undian setiap masa. Jadi, kemenangan ini akan lengkap apabila saya bertemu peminat,” katanya.
Selain Anugerah Bintang Paling Popular, Aina turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang diinspirasikan CONBOO, mengekalkan trofi sama yang dijulangnya pada edisi ke-35.
Pada edisi kali ini, Aina turut tercalon dalam kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Lagu Paling Boom. Bagaimanapun, dia kecundang di tangan gandingan Ernie Zakri dan Ade Govinda yang mempertaruhkan lagu Masing Masing.
Sepanjang tahun lalu, banyak kejayaan dicapai Aina termasuk meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu serta mempertahankan trofi Vokal Terbaik.
Aina juga melakar sejarah peribadi apabila mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, November tahun lalu.
Sinonim dengan fesyen pelik dan esentrik, Aina tidak pernah sunyi dengan kontroversi apabila penampilan ketika membuat persembahan atau menghadiri acara hiburan menjadi topik perbincangan dalam media sosial.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 diinspirasikan penaja utama, CONBOO. – BH Online