BATU KAWAN: Reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang yang bermula hari ini, meriah dengan pengunjung.
Sudah tentu antara menjadi tarikan ialah Pet Zootopia dengan pameran lebih 20 haiwan termasuk eksotik yang manja dan boleh dibelai.
Juga tidak ketinggalan Pencarian Wartawan Cilik yang memberi peluang kepada kanak-kanak ‘melapor berita di lokasi’.
Bagi pengunjung dari Baling, Kedah, Md Kudus Yaakob, 45, dia datang ke karnival berkenaan bersama isteri serta dua anak.
Katanya, dia mendapat maklumat mengenai aktiviti menarik di reruai NSTP menerusi laporan berita dalam talian, semalam.
“Hari ini merupakan hari cuti bagi sekolah di Kedah jadi saya ambil peluang membawa isteri dan anak meluangkan masa di sini.
“Anak sulung saya (Mohd Amsyar, 8) juga tidak melepaskan peluang mencuba bakat dalam Pencarian Wartawan Cilik.
“Mohd Amsyar beritahu dia berasa gementar ketika memegang mikrofon berlogo NSTP, seolah-olah menjadi wartawan sedang melapor berita,” katanya yang bekerja kampung.
Sementara itu, Hatijah Hashim, 39, dari Sungai Petani, Kedah berkata, aktiviti di Pet Zootopia antara yang dinantikan tiga anaknya berusia empat hingga 12 tahun.
“Sejak semalam lagi anak-anak mengulang pertanyaan sama ada boleh bawa mereka tengok haiwan jinak dan sepanjang di sini, mereka amat teruja.
“Kami antara pengunjung setia KJH dan kali ini, kemeriahannya terasa walaupun pada hari pertama selain kemudahan yang memuaskan,” kata kakitangan awam itu.
Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP, Wan Fadzly Hizam Wan Kadir berkata reruai NSTP yang menempatkan Pet Zootopia itu dijangka menarik seramai 1,000 pengunjung sehari.
Harga tiket yang ditawarkan RM6 dan RM20 bagi kemasukan empat pengunjung.
“Setiap pengunjung yang membeli empat tiket akan menerima barangan daripada penaja seperti Nestle dan CSR.
“Bagi Pencarian Wartawan Cilik pula, yuran yang dikenakan ialah sebanyak RM30 termasuk tiket ke Pet Zootopia ,” katanya.
Aktiviti pencarian itu terbuka kepada penyertaan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang petah, berani dan mesra dengan haiwan di reruai NSTP.
Peserta perlu memuatnaik video yang dirakam ke media sosial dan pemenang akan diumumkan pada 29 September, Ahad ini jam 5 petang.
KJH Pulau Pinang yang berlangsung selama tiga hari hingga 29 September ini, bermula jam 9 pagi. – BH Online