KUALA LUMPUR: Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) buat julung kalinya menganjurkan program KARIB Golf Silaturahim & Friends 2024 di Bangi Golf Resort, dekat sini, semalam.
Ia disertai 32 pemain merangkumi dari kalangan bekas warga kerja akhbar Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) serta The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Tidak ketinggalan kalangan yang mereka masih berkhidmat bersama ketiga-tiga akhbar arus perdana berkenaan termasuk Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Antara pemain lain yang mengambil bahagian adalah Penasihat KARIB yang juga bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Manja Ismail dan Presiden KARIB, Datuk Abdul Karim Mustafa.
Selain itu, bekas Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor; bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris dan bekas Pengarang Kumpulan NST, Lokman Mansor.
Tidak ketinggalan bekas wartawan BH dan kini peguam, Datuk Khairul Anwar; Datuk Dahlan Maamor, Datuk Zuhri Iskandar, Shauqi Ahmad, Abu Bakar Atan, Mutazar Abd Ghani, Wan Hazmir Bakar, Osman Lisut serta jurugambar, Datuk Muhammad Ibrahim, Rosli Ahmad dan Zulkipli Osman.
Pertandingan yang menggunakan format sistem 36 stableford ini dimenangi Mohd Dharfifi Dahlan dengan 38 mata, manakala naib juara milik Aziz Hassan (37) dan Khairul (37).
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang turut disempurnakan oleh Penasihat KARIB yang juga bekas Pengarang Kumpulan HM dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar. Hadir sama Setiausha Agung KARIB, Saodi Mat Atar.
Karim dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana penganjuran pertandingan golf itu dapat mencapai tujuan bagi merapatkan kembali silaturahim kalangan bekas warga kerja dari Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur itu.
“Golf silaturahim ini adalah antara program disusun oleh KARIB bagi tahun ini, berikutan ramai kalangan bekas warga kerja BH, HM, NST dan NSTP yang aktif dalam sukan ini.
“Kita harap dapat menganjurkan lagi pelbagai program merapatkan ukhwah termasuk golf. Mungkin selepas Mesyuarat Agung KARIB hujung bulan ini
“Sebenarnya, kita sudah dan sedang merancang beberapa program lagi bagi membolehkan lebih ramai ahli KARIB dapat bertemu dan bersua muka selepas sekian lama berpisah sebaik bersara atau berhenti bekerja dari Balai Berita.
“Dalam masa sama, kita harap bekas-bekas warga kerja yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian sama ada menerusi saya atau Saodi bagi membolehkan KARIB terus bertambah maju dan aktif,” katanya. – BH Online