Kuala Lumpur: Harian Metro bakal meneruskan lagi kerjasama dengan EZ Qurban Sdn Bhd dalam menganjurkan program ibadah korban pada Aidiladha ini bagi berkongsi rezeki dengan lebih ramai asnaf dan fakir miskin.
Kali ini program berkenaan akan dianjurkan di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor pada hari pertama Aidiladha dengan sasaran membabitkan 500 keluarga.
Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit berkata, Harian Metro amat berbesar hati sekali lagi dapat meneruskan kerjasama strategik bersama EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin buat dua tahun berturut-turut dalam melaksanakan program ibadah korban pada tahun ini.
“Mengambil keberkatan serta pada masa sama meraikan dan menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban, harapan kami penganjuran program ini secara tidak langsung dapat membawa keceriaan dan menambah kemeriahan dalam menyambut perayaan Aidiladha pada kali ini setelah disambut secara sederhana sebelum ini ekoran penularan Covid-19.
“Sebagai media arus perdana yang berusia lebih 30 tahun, tugas kami bukan saja sebagai penyampai maklumat dan berita semasa, kami juga komited untuk turun padang, berkorban masa dan tenaga menghulurkan bantuan dan sumbangan diperlukan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program TKHM Korban 2022 Harian Metro Bersama EZ Qurban di Balai Berita, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengasas Yayasan EZ Prihatin, Azhar Ab Shukur; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad serta Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.
“Program ibadah korban ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggung jawab sosial korporat Harian Metro untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan oleh golongan yang kurang berkemampuan melalui kerjasama strategik dengan rakan-rakan korporat seperti EZ Qurban.
Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada pihak media terutama Harian Metro selain mengharapkan lebih ramai lagi pihak berkemampuan tampil melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.
“EZ Qurban menyasarkan sebanyak 1,000 ekor lembu disembelih dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dengan kerjasama ini kita harap usaha ini diuar-uarkan dan sasaran itu dapat dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan EZ Qurban Nor’adzimah Hassanuddin berkata, pihaknya menyasarkan lebih 8,000 ekor lembu dapat diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik di 37 negara.
“Tahun ini kita akan laksanakan di 37 negara termasuk dua lokasi baharu iaitu di Kyrgyztan, Burkina Faso, Afrika Barat dan Papua New Guinea.
“Tahun lalu, kita dapat 8,800 ekor tetapi sebelum Covid kita pernah capai 11,000 ekor lembu dan tahun ini kita harapkan dapat mencapai lebih 8,000 ekor,” katanya.
Pelaksanaan ibadah korban bersama EZ Qurban di dalam negara boleh dilakukan dengan harga sebanyak RM750 untuk satu bahagian lembu dan RM1,199 untuk seekor kambing manakala ibadah korban di luar negara bermula dengan harga serendah RM320 untuk satu bahagian lembu dan RM580 bagi seekor kambing.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi EZ Qurban di talian whatsapp 1-800-885-885 atau boleh kunjungi laman web di www.ezqurban.org.