Seremban: Siri jelajah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Kedai Ayamas memasuki tahun kedua diteruskan di Negeri Sembilan dengan menyantuni anak yatim di Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan (Payda) di sini, semalam.
Harian Metro dan Kedai Ayamas turun padang menziarahi penghuni Payda dan menyampaikan bantuan berupa wang sumbangan dan pelbagai barangan kegunaan harian jenama Kedai Ayamas serta set nasi Ayamas.
Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad berkata, sebagai media arus perdana, Harian Metro bukan sahaja berperanan sebagai penyampai maklumat dan berita semasa, malah sentiasa prihatin terhadap masyarakat setempat.
“Ia menjadi tanggungjawab sosial korporat Harian Metro untuk sama-sama membantu meringankan beban masyarakat melalui rakan korporat seperti Kedai Ayamas.
“Program seumpama ini juga satu usaha berterusan pihak Harian Metro mendekati masyarakat sesuai dengan slogan kami Rasai Berita Sebenar yang mana kami berkongsi dan memaparkan berita yang dekat dengan masyarakat tempatan.
“Kami di Harian Metro hanya bertindak sebagai pembuka jalan dan diharapkan selepas ini akan ada lebih banyak pihak terutama syarikat korporat tampil bekerjasama dengan Harian Metro menerusi TKHM dengan menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan.
“Bantuan ini diharap mampu meringankan beban mereka ketika negara berdepan isu penularan wabak Covid-19 yang masih lagi tinggi,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan program TKHM Bersama Kedai Ayamas di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz manakala Kedai Ayamas diwakili Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Mohamad Izham Mohamad Haroun.
Mohamad Izham berkata, jenama Kedai Ayamas sudah berada di pasaran lebih tiga dekad lalu dan kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan berterusan rakyat Malaysia.
“Justeru, untuk menghargai sokongan itu kami meneruskan program TKHM Bersama Kedai Ayamas tahun ini supaya dapat terus berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan termasuk anak yatim terutama di kawasan kami beroperasi.
“Semoga perniagaan Kedai Ayamas terus berkembang maju dan sentiasa kekal di hati rakyat Malaysia. Diharapkan dengan kejayaan ini, lebih ramai lagi yang dapat kami bantu,” katanya.
Kedai Ayamas adalah jenama dan bisnes dimiliki Kara Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Johor Corporation yang membuka outlet pertama pada 29 April 1988 dan mempelopori perniagaan penjualan pelbagai produk berkaitan ayam dengan produk dan menu halal serta berkualiti.
Mohamad Izham berkata, Seremban adalah lokasi kedua daripada sembilan lokasi dalam siri jelajah di bawah program TKHM Bersama Kedai Ayamas bagi menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Program ini bermula 20 Februari lalu di cawangan baru Kedai Ayamas ke-76 Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru. Tujuh lagi lokasi adalah di Pahang, Melaka, Lembah Klang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
“Selain sumbangan diberikan melalui siri jelajah, Harian Metro dan Kedai Ayamas akan melaksanakan program bubur lambuk yang berlangsung Ramadan tahun ini,” katanya. – HMOnline