KUALA LUMPUR: Lebih 80 bekas kakitangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) daripada Jabatan Pengedaran menghadiri majlis reunion (perjumpaan semula) yang julung kalinya selepas hampir 10 tahun masing-masing tidak pernah bersua muka kerana bersara atau berhenti.
Program menghimpunkan semula bekas kakitangan yang pernah berkhidmat di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar dan cawangan di seluruh Malaysia bermula apabila dua sahabat yang pernah bertugas dengan Jabatan Pengedaran NSTP, mengaturkan rancangan itu, kira-kira dua bulan lalu.
Dzulhilmi Effendi, 61, berkata beliau dan rakannya ada membincangkan untuk menganjurkan majlis perjumpaan semula berkenaan sejak setahun lalu, namun gagal dilaksanakan beberapa kali.
“Untuk mengumpulkan mereka bukan satu perkara yang mudah, namun apabila berjaya dilaksanakan pada kali ini, ia adalah satu memori indah buat kami semua.
“Saya cukup gembira apabila mereka semua bersetuju untuk berkumpul semula dan bersua muka selepas hampir satu dekad tidak bertemu terutamanya mereka yang bertugas jauh diseluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Majlis Reunion Bekas Kakitangan NSTP Jabatan Pengedaran di Hotel Grand Barakah, di sini, hari ini.
Antara yang hadir, bekas Pengurus Besar Jabatan Pengedaran NSTP, Wee Tec Kee dan Mohd Azrai Ariffin serta bekas Pengurus Jabatan Pengedaran NSTP, Salim Badru Duja.
Sementara itu, bagi Mahmod Mat Ali, 60, berkata tujuan perjumpaan semula berkenaan adalah untuk mengetahui perkembangan terkini rakan-rakan sekerja yang pernah sama-sama berjuang di NSTP.
“Lebih terharu apabila rakan-rakan daripada seluruh Malaysia datang dari Sabah, Sarawak serta negeri-negeri jauh yang lain, ada yang kurang sihat sanggup datang bagi menyatakan komitmen mereka untuk berkumpul dan bertemu semula di majlis berkenaan.
“Tidak lain tidak bukan sudah pastinya pertemuan semula ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakan-rakan yang pernah bertugas di Jabatan Pengedaran NSTP sewaktu dulu,” katanya.
Menurut Mahmod, sekiranya berpeluang, beliau dan rakannya Dzulhilmi bercadang untuk menganjurkan lagi program seumpama itu pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan mereka. – BH Online