KUALA LUMPUR: Kombinasi artis senior dan angkatan baharu menjadi konsep yang bakal menambah seri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam ini.
Seiring tema ‘Teguh’ yang diangkat pada penganjuran ABPBH kali ini, produksi TV3 dan penganjur, Berita Harian (BH) berperanan penting dalam merangka konsep serta perjalanan keseluruhan acara bagi menghadiahkan pengalaman berharga buat penonton.
Sehubungan itu, Penerbit Eksekutif ABPBH 36, Nurhul Huda Khalid bersama sidang produksi yang sudah ‘berkampung’ di Auditorium MBSA sejak seminggu lalu berusaha tampil dengan kelainan dan membawa pelbagai versi persembahan.
“Tema keseluruhan ABPBH 36 adalah ‘Teguh’, jadi dari segi persembahan diadunkan semuanya dengan tema kali ini. Sebagai contoh, persembahan Haqiem Rusli, Usop dan Zamani. Lagu dipersembahkan ‘vibe’ ketika era 1990-an.
“Maknanya daripada era Zamani sampailah penyanyi sekarang, masih mengekalkan irama lama. Jadi, di situ kami nampak bagaimana teguhnya perjalanan muzik. Dari dulu sampai sekarang ia masih kekal relevan.
“Kali ini, kami ambil kira calon yang terdiri daripada bintang legenda dan bakat baharu. Jadi, bukan sengaja konsep ini dibuat, tapi disebabkan mereka yang masih aktif dan mendapat sokongan peminat.
“Jadi, kami cuba selarikan konsep Teguh dengan setiap calon Top 5 dalam semua kategori pada ABPBH 36,” katanya ditemui pada sesi raptai malam kemuncak ABPBH 36 di Auditorium MBSA, di sini.
Mengulas konsep pentas dibawakan pada penganjuran ABPBH kali ini, Nurhul Huda berkata, pihak produksi memanfaatkan pelbagai teknik untuk memastikan nilai prestij anugerah tetap diangkat, biarpun lokasi acara diakui sedikit kecil.
“Konsep pentas bergantung kepada lokasi, kalau berada di lokasi lebih besar akan jadi lain. Auditorium MBSA ini tidak terlalu besar, jadi kami perlu sesuaikan dengan keadaannya.
“Biarpun kecil, tapi suasana yang cuba diberikan untuk penonton di rumah tetap gah dan besar.
“Ada teknik penggunaan kamera, sudut dan pencahayaan yang ada dimanfaatkan supaya dapat ‘menutup’ lokasi asal yang digunakan. Dengan itu, suasananya akan jadi lebih menarik.
“Kami sudah masuk Auditorium MBSA untuk buat persiapan sejak 3 Oktober lalu dengan mula memasang lampu, diikuti dengan proses pemasangan set atau pentas, jadi diharapkan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Nurhul Huda mengakui, kehangatan malam kemuncak ABPBH 36 semakin dirasai, namun, bersyukur dengan komitmen ditampilkan semua pihak yang terbabit.
“Debaran memang ada, kalau awal sesi latihan memang ada beberapa masalah timbul sama ada dari segi audio dan visual. Tapi, semuanya dalam keadaan baik, tidaklah adalah masalah terlalu ketara.
“Ini bukan kali pertama berdepan cabaran, jadi saya bersyukur ada pasukan produksi termasuk pasukan BH yang kuat.
“Pasukan sentiasa membantu dan memberi kerjasama baik. Ditambah dengan bantuan pasukan teknikal yang memberi 100 peratus komitmen.
“Saya harap ABPBH 36 berjaya mencapai matlamat. Apa dimahukan sebagaimana tema Teguh ini dapat direalisasikan,” katanya.
Malam Kemuncak ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO selaku penaja utama bakal menampilkan persembahan Hazama yang bakal berkongsi pentas dengan Shiha Zikir menerusi segmen penghargaan.
Selain itu, ABPBH 36 juga bakal dihangatkan dengan persembahan dari kumpulan Spider, Ernie Zakri, Marsha Milan, Ghidd, Tuju, Meerfly, Benzooloo dan De Fam.
ABPBH 36 menampilkan gandingan Didie Alias, Riena Diana dan Haniff Hamzah selaku pengacara.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama. – BH Online