SHAH ALAM : Menepati ramalan, Aina Abdul diangkat Penyanyi Wanita Popular yang diinspirasikan CONBOO, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Mempertahankan trofi dimenangi pada edisi lalu, kejayaan itu membuktikan teguhnya sokongan peminat terutama yang bernaung di bawah kelab, Ainations mengundi idola mereka.
Aina menewaskan Siti Nordiana, Ernie Zakri Stacy dan Adira Suhaimi. Pada ABPBH 36, selain kategori Penyanyi Wanita Popular, Aina dicalonkan dalam kategori Ekstra Tonton Paling Popular, iaitu Lagu Paling Boom.
Dengan kemenangan malam ini, Aina selain membawa pulang trofi turut menerima sekeping emas seberat 50 gram sumbangan CONBOO.
Aina dalam pada itu mendedikasikan penghargaan diterimanya buat peminat.
“Saya saksikan sendiri kegigihan mereka dan trofi ini bukti kesungguhan mereka.
“Tapi, saya tak jangka dapat menang lagi tahun ini kerana saya datang sebagai penonton.
“Saya tidak menidakkan pesaing yang lain seperti Adira Suhaimi, Stacy, Ernie Zakri dan Siti Nordiana semuanya hebat,” katanya.
Sepanjang tahun lalu, banyak kejayaan dicapai Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani termasuk meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu serta mempertahankan trofi Vokal Terbaik.
Aina juga melakar sejarah peribadi apabila mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, November tahun lalu.
Sinonim dengan fesyen pelik dan esentrik, Aina tidak pernah sunyi dengan kontroversi apabila penampilan ketika membuat persembahan atau menghadiri acara hiburan menjadi topik perbincangan dalam media sosial.
Aina pernah mewakili Malaysia pada ABU TV Song Festival 2023 yang dianjurkan Asia-Pacific Broadcasting Union di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 diinspirasikan penaja utama, CONBOO. – BH Online