Batu Kawan: Petah, berkeyakinan tinggi dan berpengetahuan mengenai haiwan, menobatkan Muhammad Haziq Safwan Hafidzee, 9, sebagai juara Pencarian Wartawan Cilik yang dianjurkan di reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).
Muhammad Haziq memenangi hadiah wang tunai RM500 manakala dimenangi oleh Muhammad Farish Haikal Mohd Khairul Shukri yang membawa pulang RM300.
Tiga lagi peserta, Muhammad Raqim Ashraffi Rafizi Izwan, Umar Aryan Nuridin dan Nur Eriana Damia Jama Rizal masing-masing memenangi hadiah saguhati sebanyak RM100.
Bapanya, Hafidzee Idris, 37, berkata, dia tidak menyangka anak kedua daripada empat beradik itu dipilih menjadi juara.
“Anak saya adalah pengawas di sekolah dan gemar menyertai aktiviti seumpamanya.
“Tidak sangka juga datang KJH ini, anak saya dapat bawa pulang hadiah RM500 dan dia beritahu mahu simpan sebahagian wang itu dalam simpanannya,” katanya yang datang dari Sungai Ara.
Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar Jabatan Operasi Perniagaan, Sokongan Jualan dan Pemasaran NSTP, Aswan Abdul Kadir.
Pemenang berkenaan diumumkan oleh selebriti terkenal Ally Iskandar dan Syamira Nazir yang juga boleh ditonton secara langsung di media sosial Harian Metro.
Turut berlangsung di reruai NSTP ialah pemberian gula oleh penaja Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) kepada 100 pengunjung yang singgah di reruai.
Pemberian gula itu dilakukan oleh Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP Tengku Kaifimirza Tuan Cherit@Tengku Hamzah berkata sebanyak 3,000 naskah akhbar The New Starits Times, Berita Harian dan Harian Metro diedar dan diberi kepada pengunjung sepanjang tiga hari.
“Ternyata masih ramai yang gemar membaca berita menerusi surat khabar selain digital atau dalam talian.
“Sehingga kini acara lelongan masih berlangsung dan sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan terutama di Pet Zootopia yang kali kedua diadakan di KJH.
“Produk daripada penaja Nestle dan Bernas dan juga turut diberi kepada pengunjung termasuk kanak-kanak yang menyertai ‘flashmob’ di hadapan reruai pada hari terakhir,” katanya lagi.
Sementara itu pengunjung dari Simpang Ampat,Nor Azniza Romli, 38, berkata, harga tiket yang ditawarkan iaitu RM20 bagi empat orang adalah berbaloi dengan pengalamannya bersama suami dan dua anak.
“Boleh hilang semua letih berjalan apabila dapat bersama haiwan jinak dan tarikan seperti ini perlu dikekalkan.
“Selain dapat bergambar dan bermesra dengan haiwan, kunjungan selebriti juga turut memeriahkan suasana,” katanya ketika ditemui.
Bagi Abdul Rahman Mohamad, 43,pula berkata, diharap pada masa akan datang, reruai Pet Zootopia akan lebih besar dan dengan bilangan haiwan yang lebih banyak.
Dia yang datang bersama enam lagi ahli keluarga berkata, lebih banyak tarikan kepada pengunjung berkeluarga perlu diadakan pada KJH akan datang.
“Harga tiket sangat berpatutan dan diharap ia dapat dikekalkan. Mungkin pada karnival akan datang boleh bawa lebih banyak haiwan pelik atau eksotik yang jarang dilihat,” katanya.
Turut melawat reruai NSTP ialah artis jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) Fia Julia, Tika Nasir dan The Gadyz.
KJH Pulau Pinang yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini bakal diserikan dengan acara Konsert Jom Heboh pada jam 9 malam, menampilkan artis seperti Hael Husaini, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Bella Astillah, Hyperact Band dan Nadia Rosli. – BH Online