Putrajaya: Biarpun hujan melanda sejak pagi, namun Malaysia Paling Best Piknik anjuran Media Prima Berhad sempena kempen Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia 2024 Pahit Manis Bersama, tetap mendapat sambutan meriah dengan hampir 2,000 pengunjung yang hadir seawal jam 7 pagi di Taman Botani, di sini, hari ini.
Antara yang mendapat perhatian, seorang daripada peserta Bekpes Hot 5KM Fun Run iaitu Ruselawati Abu Hassan, 42, yang mengenakan pakaian seragam penembak tepat ketika melakukan larian.
Ruselawati yang turut memakai mafla Briged Al-Qassam Palestin ketika ditemui berkata, beliau berpakaian sebegitu sebagai penghargaan juga kepada anggota tentera yang berkorban demi keamanan Malaysia.
“Saya minat menjadi anggota tentera dan pada masa sama, saya minat ikuti acara larian. Cita-cita saya untuk menjadi anggota tentera tidak kesampaian kerana gagal melepasi syarat kelayakan termasuk rabun.
“Saya beli baju ‘sniper’ (penembak tepat) tentera ini pada harga RM700. Biasanya, saya hanya menonton di televisyen berkaitan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia namun kali ini, saya sertainya.
“Ia bukan sekadar mampu melahirkan semangat patriotik malah berkongsi pelbagai ragam yang menggembirakan,” katanya.
Pengunjung, N Hemalatha, 39, pula berkata, dia hadir bersama suami dan anak-anak selepas mengetahui berkaitan program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Pahit Manis Bersama semasa membaca akhbar terbitan Kumpulan The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP) di perpustakaan tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, di sini.
“Saya juga suka mendengar radio Hot FM. Program sebegini bagus diperbanyakkan lagi. Anak-anak pun gembira dengan suasana harmoni dan menyeronokkan seperti program hari ini,” katanya.
Program turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA) Nazri Noran.
Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad Junisa Jaafar Sidek berkata, penganjuran Malaysia Paling Best Piknik dibuat sempena sambutan Hari Malaysia di bawah kempen Manis Pahit Bersama oleh Media Prima Berhad.
Katanya, ia membabitkan pembabitan pelbagai rangkaian platform di bawah Media Prima seperti Hot FM, TV9, NSTP dan WOW Shop.
“Objektifnya adalah untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia dan menyemarakkan semangat cinta kepada negara dengan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia melalui rasa.
“Kempen Manis Pahit Bersama pada tahun ini mengangkat makanan kesukaan rakyat Malaysia atau Makanan Malaysia Paling Best seperti nasi lemak, char kuey teow, roti canai dan teh tarik yang menyatukan kita tanpa mengira bangsa serta budaya,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti diadakan di Malaysia Paling Best Piknik ialah Bekpes Hot 5KM Fun Run oleh Hot FM, piknik dengan pemberian nasi lemak dan teh tarik percuma oleh TV9, cabutan bertuah oleh WOW Shop serta edaran naskah tiga akhbar terbitan Kumpulan NSTP iaitu Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST).
Beliau berkata, pelbagai aktiviti kanak-kanak dan persembahan santai artis seperti Faizal Tahir, Shi En, Asyraff Nasir dan Lan Solo turut disajikan kepada pengunjung.
Penyampai radio yang hadir antaranya KJ, Johan, Fara Fauzana, AG, Haiza, Muaz dan Matdan. – HM Online