KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini mengadakan kunjungan hormat dan lawatan di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini.
Diketuai Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, pertemuan bersama pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (Media Prima) itu berlangsung selama hampir dua jam.
Ku Mashariman berkata, lawatan pihaknya bersama empat pegawai yang lain adalah bagi melihat dari sudut keselamatan terutama apabila kakitangan Media Prima di Sri Pentas, Bandar Utama akan berpindah ke Bangsar.

“Menjadi tanggungjawab polis untuk melihat faktor keselamatan apabila perpindahan itu, kawasan ini sudah boleh dikatakan menjadi kawasan sasaran penting kepada keselamatan.
“Jadi, kita buat ‘advance’ lawatan dan melihat bagaimana pihak Media Prima ini hendak beroperasi di tempat ini nanti apabila keseluruhannya (semua kakitangan) sudah dipindahkan ke sini,” katanya semasa lawatan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal.
Rombongan berkenaan disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Pentadbiran Korporat Kumpulan Media Prima, Shahidir Hasbullah; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Eksekutif The New Straits Times (NST), Sharanjit Singh.
Ku Mashariman bersama pimpinan tertinggi IPD Brickfields turut diberikan taklimat mengenai syarikat Media Prima dan mengadakan lawatan ke tapak operasi studio baru.
Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, lawatan berkenaan penting bagi membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat perancangan lebih awal selain memperkemaskan lagi tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
“Kedudukan lokasi Media Prima ini di bawah pentadbiran Balai Polis Pantai.
“Jadi saya bawa Ketua Polis Balai untuk melihat, mengenali ‘area study’ supaya selepas ini apa jua isu keselamatan di Media Prima ini adalah di bawah bidang Ketua Polis Balai Pantai,” katanya. – BH Online