AYER KEROH: Reruai Dinoland kendalian The New Straits Times Press (NSTP) antara yang menjadi tumpuan pada hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Sejak dibuka Jumaat lalu, reruai yang menampilkan replika dinosaur pelbagai saiz sudah menerima lebih 10,000 pengunjung yang kebanyakkannya hadir bersama keluarga dengan bayaran serendah RM10.
Reruai berkenaan turut menarik perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang singgah ketika melakukan lawatan ke tapak karnival hari ini.
Beliau sempat memaklumkan bahawa reruai berkenaan adalah antara yang terbaik pada KHJ berkenaan.
“Bagus, terbaik. Sesuai untuk semua peringkat umur, tahniah NSTP,” katanya sejurus keluar daripada reruai yang berkonsepkan `glow in the dark’ dan hutan dengan pameran dinosaur bergerak serta statik itu.
Mengiringi Ketua Menteri adalah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.
Ab Rauf turut teruja melihat sambutan yang sangat luar biasa terhadap penganjuran KJH oleh Media Prima Berhad (MPB) ketika turun padang kira-kira sejam menyantuni pengunjung serta peniaga.
Beliau turut berkesempatan meninjau reruai Kelab Media Prima selain reruai Tonton Drama Sangat yang diberi sambutan meriah pengunjung di tapak karnival itu.
Dengan sambutan hebat itu, beliau berharap KJH dapat diteruskan pada tahun hadapan di Melaka sebagai menyokong kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan negeri Hang Tuah itu.
“Saya amat teruja melihat kehadiran ribuan pengunjung yang datang ke Melaka ini untuk bersama-sama memeriahkan KJH, malah saya sendiri tertarik melihat pelbagai produk yang diketengahkan terutama daripada peniaga kecil yang boleh menjual produk keluaran mereka, sekali gus menambah mereka.
“Saya berterima kasih dan tahniah kepada MPB yang menganjur karnival inisekali gus menyokong serta membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang sedang rancak berlangsung ketika ini,” katanya. – BH Online