Kuala Lumpur: Kemenangan Anugerah Siebel yang diperoleh wartawan sukan Harian Metro pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2023 dijadikan pemangkin semangat untuk terus menghasilkan karya terhebat mengenai sukan tanah air di Malaysia.
Wartawan sukan Harian Metro, Firdaus Hashim berkata, kemenangan itu tonik untuk mereka terus menyediakan informasi lebih bermakna kepada pembaca mengenai atlet di Malaysia.
“Kami akan terus berusaha untuk mencari serta menulis berita atau ulasan sukan yang jitu kepada pembaca agar mereka boleh melihat perbezaan kami dengan yang lain.
“Ini sebagai pembakar semangat kepada kami agar kami terus berusaha lebih lagi supaya segala artikel yang ditulis boleh menjadi inspirasi kepada pembaca mahu pun atlet,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertamanya memenangi anugerah Siebel sebagai pemenang Anugerah Siebel pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2023, sebentar tadi.
Wartawan sukan Harian Metro Aida Adilah Mat bergandingan bersama Firdaus Hashim dan Amirul Fazli Zulkafli memenangi anugerah tertinggi itu menerusi laporan khas berjudul ‘Ketandusan Atlet Pelapis’ yang mendedahkan Malaysia kekurangan atlet pada masa hadapan.
Laporan terbabit juga dipilih sebagai pemenang kategori Laporan Khas selepas mengetepikan empat pencabar lain.
Menerusi kemenangan itu, trio wartawan Harian Metro membawa pulang wang tunai secara keseluruhan RM10,000.
Sementara itu, Editor Sukan Harian Metro Mohd Saipul Adli Mohamad dan Firdaus turut tercalon sebagai finalis anugerah Ulasan Berita Terbaik.
Wartawan Sukan Arena Metro Syazwan Msar dan Firdaus pula berada dalam kedudukan lima terbaik untuk anugerah Berita Terbaik. – HM Online