Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) buat pertama kalinya meraikan anggota sukarelawan Askar Wataniah yang juga sebahagian petugas barisan hadapan terbabit dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020.
Semalam berlangsung acara simbolik penyampaian sumbangan Kotak Rezeki Harian Metro sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan bakti anggota sukarelawan yang diadakan di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi di sini, sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Tauliah Kehormat.
Anjuran bersama Harian Metro dan Affin Bank/Affin Islamic, program TKHM juga mendapat kerjasama daripada Pejabat Tentera Darat Malaysia.
Majlis disempurnakan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz. Manakala Affin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah.
Sejumlah 742 Kotak Rezeki yang mengandungi barang keperluan harian sudah diagihkan kepada semua 371 anggota sukarelawan Askar Wataniah di seluruh negara.
Setiap anggota menerima dua Kotak Rezeki Harian Metro bernilai RM100 sekotak dan wang tunai RM300.
Husain berkata, program TKHM adalah program tanggungjawab sosial korporat sebagai bukti keprihatinan Harian Metro demi menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam kalangan anggota tentera, dengan memberikan sedikit sumbangan bagi menceriakan lagi kehidupan mereka bersama keluarga.
“Saya berharap program seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli keluarga Askar Wataniah dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
“Pada masa sama dapat mengeratkan hubungan Harian Metro serta Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad bersama anggota Askar Wataniah ini,” katanya.
Beliau berkata, program itu juga sebahagian usaha merapatkan hubungan warga kerja Harian Metro dengan masyarakat setempat khususnya pembaca setia Harian Metro yang ada lebih 2.8 juta orang di luar sana.
Sementara itu, Nazlee berkata, pihak bank ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada petugas barisan hadapan yang terdiri kalangan anggota tentera di atas usaha dan komitmen tinggi dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang memberi impak ekonomi dan sosial.
“Kami berharap usaha sama ini akan dapat terus dilaksanakan kepada lebih ramai golongan masyarakat memerlukan dan disertai oleh lebih banyak syarikat korporat.
“Kerjasama Affin bersama Harian Metro adalah satu daripada cabang tanggungjawab sosial bank dalam memenuhi keperluan komuniti setempat dan Environmental, Social and Governance (ESG) bertujuan memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat dan kelestarian alam sekitar agar mampu beroperasi dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Program TKHM bersama Affin Islamic adalah kali kedua dianjurkan pada tahun ini.
Program pertama diadakan pada 4 Mac dan 31 Mac yang lalu di Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan, yang menyaksikan kerjasama Harian Metro dan Affin Islamic menyerahkan sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar menengah atas dari golongan B40. Program Titian Kasih Harian Metro 2022 ini yang sudah memasuki tahun ke-16 penganjurannya mendapat penajaan daripada Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad sejak tahun 2016. – HMOnline