Kuala Lumpur: Harian Metro bersama Kedai Ayamas menjalin kerjasama menganjurkan majlis gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk sempena Ramadan di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, dekat sini, kelmarin.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat sambil berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penduduk, surau serta jemaah sekitar masjid terbabit sebagai juadah berbuka puasa.
Aktiviti dimulakan dengan memasak bubur lambuk secara bergotong-royong di masjid berkenaan, sekali gus menjadi simbolik pelancaran Program Bubur Lambuk Kedai Ayamas Bersama TKHM.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif Kedai Ayamas, Abd Rahman Md Dawi dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad serta Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.
Turut hadir Pengerusi Masjid Al-Najihin, Syed Amru Syed Abdullah.
Acara gotong-royong dijalankan oleh ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan TKHM dan kakitangan Kedai Ayamas seawal jam 9 pagi.
Edaran dilakukan kepada penduduk menerusi konsep pandu lalu di kaunter yang disediakan di laluan bersebelahan masjid.
Muhamad Safar berkata, program itu diadakan bertujuan mengimarahkan lagi Ramadan serta sebagai salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama dan merapatkan hubungan Harian Metro bersama rakan korporat dengan komuniti setempat.
“Sudah dua tahun kita berehat daripada menjalankan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk seperti ini disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
“Tahun ini kami di Harian Metro bersama-sama rakan korporat seperti Kedai Ayamas terpanggil untuk menganjurkan acara itu bagi mengembalikan kemeriahan Ramadan sebagaimana sebelum ini.
“Kami di Harian Metro bukan sahaja berperanan sebagai sumber berita dan maklumat semasa, kami juga turun padang mendekati masyarakat dengan menganjurkan program yang boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat sebagai sebahagian daripada tanggung jawab sosial korporat kami di sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.
Sementara itu, Abd Rahman berkata, program bubur lambuk itu adalah kesinambungan daripada program siri jelajah Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas yang bermula pada Februari lalu.
“Program ini bertujuan menyantuni masyarakat dan menghulurkan sedikit bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti penghuni rumah kebajikan, rumah orang tua dan anak yatim yang masih terkesan akibat keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Naqib merangkap Ketua Imam Masjid Al-Najihin Mohamad Faiz Sapiee @ Abd Razak berkata, dia bersyukur kerana TKHM kali memilih masjid itu sebagai lokasi penghasilan dan agihan bubur lambuk.
“Hari ini (semalam) kita mengacau tiga periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk sekitar dan surau yang mempunyai ramai asnaf,” katanya.
Kedai Ayamas adalah jenama dan perniagaan yang dimiliki oleh Kara Holdings Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Johor Corporation.
Kedai Ayamas membuka outlet pertamanya pada 29 April 1988 dan kini beroperasi selama 34 tahun di pasaran.
Mempelopori perniagaan penjualan pelbagai produk berkaitan ayam, Kedai Ayamas terus kekal di hati rakyat Malaysia dengan produk dan menu halal dan berkualiti.
Selain program bubur lambuk ini, Kedai Ayamas dan Harian Metro juga bekerjasama dalam program siri jelajah Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas bagi menyantuni golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di sembilan lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia.
Program itu dijalankan di Negeri Sembilan dan Johor pada Februari dan Mac lalu.
Tujuh lagi lokasi iaitu di Pahang, Melaka, Lembah Klang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini. – HMOnline