Melaka: Berdepan cabaran penularan wabak Covid-19, bukan penghalang buat Harian Metro meneruskan misi dan visi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas tahun ini.
Program berbentuk kebajikan dengan menumpukan kepada usaha membantu kumpulan masyarakat yang kurang bernasib baik itu diteruskan lagi dengan memilih Melaka sebagai destinasi kedua program amal berkenaan yang kini sudah memasuki tahun ke-14.
Kali ini, pihak pengurusan Harian Metro bersama syarikat Kara Holdings Sdn Bhd mengunjungi Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Bukit Pegoh, Pernu di sini yang menempatkan kira-kira 40 anak yatim bagi menghulurkan sumbangan.
Sumbangan berupa barangan makanan termasuk set nasi Ayamas dan keperluan harian itu disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit bersama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas Mohamad Izham Mohamad Haroun kepada wakil rumah kebajikan berkenaan, Nuha Idris.
Turut hadir, Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Timbalan Pengurus Komunikasi Korporat Kedai Ayamas Nurfarah Jamaluddin.
Nuha menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai penggalak kepada anak yatim di pusat kebajikan terbabit menjalani ibadah puasa dengan penuh semangat, apatah lagi sebahagian daripada mereka berasal luar dari negeri ini tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing akibat kekangan pandemik Covid-19.
Katanya, ia sekali gus menunjukkan keprihatinan pihak pengurusan akhbar nombor satu negara, Harian Metro bersama Kedai Ayamas terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Saya berterima kasih kepada Harian Metro dan Kedai Ayamas yang sudi menghulurkan sumbangan ini dan kami di madrasah ini sentiasa mendoakan syarikat akhbar dan makanan berkenaan sentiasa berjaya dalam perniagaan,” katanya.
Susulan itu, Nuha berkata, sehingga kini segala keperluan untuk penghuni rumah anak yatim berkenaan mencukupi, cuma beberapa kemudahan di surau termasuk alat pendingin hawa yang perlu diperbaiki dan memerlukan kos tinggi.
Rumah Anak Yatim Darul Aitam ditubuhkan pada April 1988 oleh Lembaga Masjid Kampung Bukit Pegoh atas rasa tanggungjawab masyarakat terhadap nasib anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan serta perhatian.
Bermula dengan 21 anak yatim dan meningkat dari setahun ke setahun, pengurusan Rumah Anak Yatim Darul Aitam diserahkan kepada Lembaga Kebajikan Dan Amanah Anak-Anak Yatim dan kini dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam Bukit Pegoh.
Selain mengurus dan menjaga kebajikan penghuninya, Rumah Anak Yatim Darul Aitam turut menjalankan program pembangunan anak yatim, khususnya dalam bidang menghafaz al-Quran.
Sementara itu, Husain berkata, seperti dianjurkan sebelum ini, Program TKHM kekal dengan matlamat asal penganjuran iaitu menyantuni pihak kurang bernasib baik terutama di rumah kebajikan dan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Program ini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan memerlukan dan kita mahu mereka terus bergembira khususnya ketika melakukan ibadah pada Ramadan ini seterusnya menyambut Aidilfitri kelak,” katanya.
Izham turut teruja apabila dapat menyertai program berkenaan kali ini dan sudah pasti pihaknya tidak mahu melepaskan peluang berbakti bagi mendapatkan keberkatan bulan mulia, Ramadan.
“Alhamdulillah, kami ingin menggembirakan ahli masyarakat kita yang kurang bernasib baik menerusi sumbangan juadah berbuka puasa dan barangan keperluan harian,” katanya.
Orang ramai berhasrat membantu Rumah Anak Yatim Darul Aitam, boleh menghulurkan sumbangan menerusi nombor akaun 569963019379 (Maybank) atas nama Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam. – HMOnline https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/699151/penggalak-semangat-40-anak-yatim