Harian Metro kekal nombor 1


BH-06/12/2007
Send to a friend | Printable Page

PETALING JAYA: Harian Metro terus mengukuhkan kedudukan sebagai akhbar
harian bahasa Melayu nombor satu di negara ini dengan purata jualan
289,315 naskhah sehari dalam tempoh 12 bulan dari 1 Julai tahun lalu
hingga 30 Jun tahun ini.

Dalam tempoh berkenaan, akhbar terbitan The New Straits Times Press (M)
Bhd (NSTP) itu juga muncul antara akhbar harian yang mencatat pertumbuhan
jualan paling kukuh, iaitu 16 peratus.

Mengikut perangkaan terbaru yang dikeluarkan Audit Bureau Circulation
(ABC) semalam, dalam tempoh 12 bulan yang dikaji itu, Berita Harian
mencatat jualan purata 192,917 naskhah sehari, di bawah Utusan Malaysia
dengan jualan purata 197,033 naskhah.

Bagaimanapun, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu dari 1
Januari hingga 30 Jun, Berita Harian mengatasi Utusan Malaysia di tempat
kedua sebagai akhbar bahasa Melayu paling laris dengan jualan purata
193,726 naskhah sehari, kenaikan 1,000 naskhah.

Dalam tempoh berkenaan, jualan purata Utusan Malaysia merosot 19,088
naskhah kepada 187,489 naskhah sehari.

Bagi akhbar bahasa Melayu mingguan pula, dalam tempoh 12 bulan dari 1
Julai tahun lalu hingga 30 Jun tahun ini, Berita Minggu mencatat jualan
purata 305,256 naskhah, Metro Ahad (314,321 naskhah) dan Mingguan
Malaysia (459,793 naskhah).

Sementara itu, akhbar harian bahasa Inggeris kumpulan NSTP, New Straits
Times (NST) meraih jualan purata 139,763 naskhah sehari dalam tempoh 12
bulan itu, meningkat 0.2 peratus, manakala edisi mingguannya, New Sunday
Times sebanyak 153,409, meningkat satu peratus.

Saingannya, The Star mencatat jualan purata 309,181 naskhah, jatuh 0.3
peratus, manakala Sunday Star pula sebanyak 322,741 naskhah sehari.
Perangkaan ABC itu turut menunjukkan bahawa akhbar dalam kumpulan NSTP
menguasai 25 peratus pasaran akhbar di negara ini yang berjumlah 2.8 juta
sehari, di belakang Sin Chew Media Group yang menguasai 33 peratus.

Pada sidang media selepas mengumumkan perangkaan ABC itu, Pengerusi
Jawatankuasa Auditnya, Mirza Mohamed Tariq, berkata di sebalik penurunan
atau tiada peningkatan dalam jumlah edaran media cetak di kebanyakan
negara maju, Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan menggalakkan dengan
akhbar harian dan mingguan masing-masing mencatat pertumbuhan purata
antara lapan dan 10 peratus dalam tempoh dikaji.

Beliau berkata, berbeza dengan kebanyakan negara maju yang mana pembaca
mula beralih kepada akhbar digital berikutan kepesatan penggunaan
internet, di negara ini pembaca masih memilih akhbar cetak sebagai
pilihan utama, malah arah aliran itu dijangka kekal untuk tempoh lima
tahun akan datang.

"Akhbar bahasa Melayu akan terus menguasai pertumbuhan masa depan
berikutan 60 peratus jumlah penduduk negara ini menguasai bahasa itu,
selain faktor peningkatan jumlah pembaca daripada golongan muda," katanya.

  Home - Contact - Sitemap - Events - In the News - Legal Terms  
  Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Balai Berita,31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur,Malaysia