BH akhbar harian bahasa Melayu nombor satu


BH-02/07/2005
Send to a friend | Printable Page

KUALA LUMPUR: Berita Harian adalah akhbar paling tinggi jualannya, mengatasi saingan terdekatnya, Utusan Malaysia, sekali gus merampas semula kedudukan sebagai akhbar harian berbahasa Melayu nombor satu negara.

Jualan Berita Harian meningkat sepanjang tempoh enam bulan dari 1 Julai hingga 31 Disember lalu dengan purata 242,030 naskhah bagi mengukuhkan penguasaannya sebagai akhbar harian paling diminati di negara ini.

Tabloid terbitan Berita Harian Sdn Bhd, Harian Metro, pula mencatatkan
peningkatan tertinggi sebanyak 43,652 naskhah atau 23.6 peratus kepada
228,723, diikuti Metro Ahad 215,512 (naik 21,127 atau 10.9 peratus) dan
Berita Minggu 375,793 (naik 6,462).

Perangkaan terbaru Audit Bureau of Circulations (ABC) yang dikeluarkan semalam turut menunjukkan semua akhbar berbahasa Inggeris di bawah Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) - New Straits Times, New Sunday Times, Malay Mail dan Sunday Mail -- mengalami peningkatan.

Pencapaian Berita Harian itu mengulangi kejayaannya yang pernah menjadi akhbar nombor satu selama sembilan tahun dari 1988 hingga 1997.

Berita Harian mencatat peningkatan jualan sebanyak 10,797 naskhah atau 4.7 peratus bagi tempoh enam bulan, daripada 231,233 naskhah bagi tempoh 1 Julai 2003 hingga 30 Jun 2004. Bagi tempoh yang sama, Utusan Malaysia mencatat kemerosotan jualan sebanyak 5,716 naskhah kepada 241,449.

Akhbar New Straits Times pula mencatatkan peningkatan jualan 9,551 naskhah kepada 138,419 (naik 7.4 peratus), New Sunday Times 149,606 (naik 467), Malay Mail 46,917 (naik 866) dan Sunday Mail 58,925 (naik 326).

Kaji selidik ABC diterima pakai sebagai perangkaan rujukan bagi industri media.

"Kedudukan sebagai akhbar nombor satu akan terus menyuntik semangat kami untuk meningkatkan usaha bagi mengekalkan kedudukan ini," kata Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian.

Mingguan Malaysia pula mengekalkan kedudukannya sebagai akhbar mingguan paling tinggi jualannya dengan purata 549,337. Ia bagaimanapun jatuh 14,331 daripada 563,668 naskhah yang dicatatkannya dalam tempoh 1 Julai 2003 hingga 30 Jun 2004 ketika Berita Minggu menyaksikan peningkatan 6,462 naskhah.

The Star kekal akhbar harian berbahasa Inggeris tertinggi jualannya dengan 299,455 naskhah (peningkatan 2,065 atau 0.7 peratus), manakala akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily terus menguasai jualan dengan 322,576 naskhah.

  Home - Contact - Sitemap - Events - In the News - Legal Terms  
  Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Balai Berita,31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur,Malaysia