Akhbar Digital Pertama


Oleh Zaitie Satibi (Harian Metro - 24/08/2004)
Send to a friend | Printable Page

KUALA LUMPUR: Harian Metro dan Berita Harian keluaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), menjadi akhbar berbahasa Melayu pertama di negara ini dilancarkan dalam bentuk digital dengan kerjasama TM Net Sdn Bhd (TM Net). Selain itu, dua lagi akhbar keluaran NSTP iaitu New Straits Times dan The Malay Mail turut boleh didapati dalam bentuk yang sama.

Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Kalimullah Hassan, berkata akhbar keluaran NSTP dilancarkan secara digital seiring dengan kemajuan dunia teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) supaya pembaca mempunyai lebih pilihan. Menurutnya, walaupun ia dikeluarkan dalam bentuk digital dan dibaca menerusi internet dengan keupayaan jalur lebar, ia masih mengekalkan format asal akhbar bercetak sama seperti bentuk konvensional. Katanya, akhbar menerusi internet sedia ada hanya memaparkan sebahagian berita penting tetapi bentuk digital memaparkan semua berita termasuk iklan, komik dan rencana.

"Selain itu, bentuk digital ini turut menawarkan arkib akhbar untuk tempoh seminggu bagi memudahkan pembaca membuat rujukan. "Yang lebih menarik, iklan dipaparkan bukan setakat boleh dibaca, malah ia boleh disaksikan secara audio visual," katanya di majlis pelancaran di Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Syed Faisal Albar, Pengerusi TM Net merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Datuk Abdul Wahid Omar, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Hishamuddin Aun, Pengurus Besar Pemasaran TM Net, Zainab Hashim dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Hafifi Hafidz.

Kalimullah berkata, selain komputer, akhbar digital boleh diaplikasi melalui telefon bimbit dan pembantu peribadi digital (PDA). "Untuk pengenalan akhbar digital boleh dicapai secara percuma sehingga 31 Ogos ini dan selepas itu pembaca boleh mendaftar dengan kadar istimewa RM22.50 sebulan bagi Berita Harian/Berita Minggu dan New Straits Times/New Sunday Times. "Manakala bagi Harian Metro/Metro Ahad dan The Malay Mail/Sunday Mail ia dikenakan kadar RM19.50 sebulan," katanya.

Bagi TM Net, menurut Abdul Wahid, dengan pelancaran akhbar digital ini, mereka mensasarkan peningkatan lima peratus pelanggan TM Net Streamyx daripada 200,000 pelanggan sedia ada. "Kami yakin dengan pertumbuhan jualan Harian Metro dan Berita Harian yang meningkat sebanyak 10,000 naskhah pada Julai lalu ia turut memberi impak kepada pelanggan Streamix yang ingin melanggan bentuk digital," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama Harian Metro melancarkan sisipan baru Variasi Metro (V-Met) dan wajah baru Bintang bagi menampilkan kelainan dan menambah ruangan liputan untuk kepuasan pembaca.

  Home - Contact - Sitemap - Events - In the News - Legal Terms  
  Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Balai Berita,31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur,Malaysia